Dalam risalah Ramadan ini, Ustaz Bediuzzaman Said Nursi menjelaskan sembilan isi penting yang berhubung dengan hikmah puasa pada bulan Ramadan al-Mubarak.
بِسْمِِ الّٰلِِ الرَّحْْٰنِِ الرَّح۪يِِ
شَهْ رِ رَمَضَانَِ الَّّ۪۪ٓى انْزِلَِ ف۪يهِِ الْ قرْاٰ نِ هدًى لِلنَّاسِِ وَِ بَيِّنَا تِ مِنَِ الْ هدٰى وَِ الْ فرِْقَانِِ
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan yang benar dengan yang salah”. al-Baqarah,185
HIKMAH PERTAMA
Sesungguhnya puasa pada bulan Ramadan merupakan di antara rukun terawal yang disebutkan dalam rukun Islam. Rukun ini dikira sebagai syiar Islam yang terbesar.Kebanyakan hikmah yang lahir daripada puasa Ramadan adalah bertujuan untuk menzahirkan sifat Rububiyyah Allah s.w.t.. Matlamatnya adalah untuk kehidupan sosial manusia dan kehidupan peribadi mereka. Ia juga bertujuan untuk mentarbiahkan jiwa dan menyatakan kesyukuran kepada nikmat Allah s.w.t..
Antara hikmah yang banyak itu, yang kita dapat perolehi daripada ibadat puasa, kita akan ketengahkan satu hikmah yang dapat menyerlahkan Rububiyyah Allah s.w.t., iaitu:
Allah s.w.t. menjadikan muka bumi ini seumpama hidangan yang luas terbentang yang dipenuhi dengan nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Hidangan itu diatur dengan begitu rapi dan indah sekali. Melalui hidangan ini, Allah s.w.t. menunjukkan sifat Rububiyah-Nya yang sempurna.
Dia menunjukkan sifat al-Rahmaniyyah dan al-Rahimiyyah sebagaimana yang disebutkan dalam firmanNya; مِنِْ حَيْ ثِ لَِ يََْتَسِ بِ “Dia memberi nikmat dari arah yang tidak disangka-sangkakan”. (Al-Talaq, 3) Akan tetapi disebabkan tabir ghaflah (kelalaian) dan sebab musabab yang lain, manusia tidak dapat melihat hakikat yang jelas ini dengan baik, kadang-kadang lupa… tetapi dalam bulan Ramadan, orang yang beriman dengan cepatnya akan menjadi seperti satu pasukan tentera yang tersusun, Allah s.w.t.. Seketika sebelum waktu berbuka, mereka semua berada dalam keadaan yang bersiap sedia untuk menyahut panggilan Yang Maha Berkuasa lagi Azali itu: “Silakan menjamah hidangan ini”. Mereka pun menyahut rahmat yang menyeluruh; meliputi pengabdian yang luas, teratur dan hebat. Adakah mereka yang tidak turut serta dalam peribadatan yang tinggi dan mulia ini layak disebut sebagai manusia?
HIKMAH KEDUA
Salah satu daripada hikmah yang banyak pada puasa bulan Ramadan yang berkat ini yang berhubung dengan kesyukuran terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita.
Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam “Kalimah Pertama”, makanan yang dibawa oleh khadam dari dapur Sultan pasti ada harganya. Adalah terlalu dungu kalau kita menyangka bahawa makanan yang bernilai itu murah dan tidak berharga. Adalah terlalu bodoh kalau kita tidak mengenali orang yang memberikan nikmat tersebut. Makanan dan nikmat yang tidak terhitung banyaknya itu juga pasti ada harganya. Sudah pasti Allah s.w.t. meminta bayarannya, iaitu melalui pernyataan syukur kepadaNya.
Sebab zahir yang membawa nikmat tersebut dan pemilik zahirnya hanyalah umpama khadam yang membawa sesuatu makanan. Kita memberikan bayaran tertentu dan terhutang budi kepada mereka. Kita terus menerus memuji dan memuliakan mereka, bahkan kita menghormati mereka dan berterima kasih lebih daripada yang sepatutnya, sedangkan al-Mun’im al-Hakikilahyang sepatutnya berhak menerima pujian dan ucapan syukur itu.
Demikianlah, rasa syukur dapat diujudkan dengan mengetahui bahawa nikmat-nikmat tersebut adalah datang daripadaNya secara terus, menghargai nilai nikmat-nikmat itu dan merasa keberhajatannya terhadap nikmat-nikmat tersebut.
Oleh itu, puasa pada bulan Ramadan yang dimuliakan ini merupakan satu kunci kesyukuran yang sebenarnya, tulus, agung dan menyeluruh. Ini kerana kebanyakan manusia tidak menyedari nilai nikmat yang banyak itu disebabkan mereka tidak pernah merasai betapa perit azabnya rasa lapar yang sebenarnya. Hanya orang yang berada dalam kesempitan yang dapat merasainya.
Pada bulan-bulan yang lain, mereka yang sentiasa kekenyangan tidak dapat menghargai nilai nikmat yang banyak ini kerana mereka tidak pernah merasa keperitan kelaparan yang sebenarnya, misalnya nikmat yang tersembunyi dalam sepotong rotikering; lebih-lebih lagi sekiranya mereka kaya raya. Hanya orang mukmin yang dapat merasakannya apabila mereka berbuka puasa nilai sekeping roti kering ini. Ini dapat dibuktikan betapa berharga dan bernilainya nikmat itu melalui deria rasanya. Oleh itu, pada bulan Ramadan orang yang berpuasa, bermula daripada sultan hinggalah kepada orang yang paling miskin sama-sama akan mengucapkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah s.w.t.. Ini kerana mereka sedar betapa besar dan bernilainya nikmat itu. Mereka yang menahan diri daripada menjamah makanan pada siang hari akan menyedari bahawa ia adalah nikmat yang hakiki. Lantaran itu, mereka akan berbisik kepada diri mereka: “Nikmat-nikmat itu bukanlah milikku. Aku tidak bebas memakannya kerana ia adalah milik dan kurnia daripada seseorang. Jadi, sekarang aku sedang menunggu arahanNya”. Dengan ini, dia dapat memahami nikmat itu sebagai nikmat yang sebenarnya serta melakukan kesyukuran yang maknawi sebaiknya.Oleh itu, puasa telah menjadi kunci kesyukuran dari pelbagai sudut; kesyukuran merupakan tugas hakiki setiap insan.
HIKMAH KETIGA
Salah satu hikmah yang mengarah kepada kehidupan sosial manusia ialah:
Manusia dijadikan dengan bentuk taraf kehidupan yang berbeza. Berdasarkan perbezaan ini, Allah menjemput orang kaya agar menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara mereka yang miskin. Orang kaya dapat menghayati dengan sepenuhnya keadaan kelaparan orang miskin dengan rasa lapar yang dialaminya dalam berpuasa.
Jika tidak kerana puasa, sudah pasti ramai orang kaya akan sentiasa menurut hawa nafsu mereka. Sudah pasti mereka tidak dapat merasai kelaparan dan kemiskinan yang memeritkan itu. Sudah pasti mereka tidak sedar betapa perlunya orang miskin kepada belas ihsan orang lain. Oleh itu, sifat belas kasihan terhadap sesama manusia merupakan salah satu faktor utama yang boleh mencetuskan rasa kesyukuran yang sebenar, kerana setiap orang mungkin akan berjumpa dengan orang yang lebih miskin daripadanya.
Justeru, dia bertanggungjawab untuk mengasihani orang tersebut.
Jika manusia tidak dipaksa untuk merasai sendiri betapa peritnya berlapar, sudah pasti tidak akan ada seorang pun yang akan merasa kasihan terhadap orang lain, yang akan mendorongnya supaya membantu dan menolong orang tersebut.
Perkara ini boleh dilakukan kerana adanya perasaan belas kasihan terhadap makhluk sejenisnya. Jika seseorang itu membantu orang miskin yang kelaparan tanpa merasai sendiri kelaparan itu, sudah pasti dia tidak akan dapat menghulurkan bantuan itu dengan sempurna kerana dia sendiri tidak pernah merasai betapa perit dan sengsaranya rasa lapar itu.
HIKMAH KEEMPAT
Salah satu hikmah puasa dalam bulan Ramadan bagi tarbiah nafsu manusia, ialah: Nafsu secara tabiinya tidak suka terbelenggu dengan sebarang ikatan. Ia mengajar dirinya seperti itu sehingga ia mengingini tuhan impian untuk dirinya sendiri. Ia mahu bergerak bebas sebagaimana yang ia suka. Ia tidak mahu memikirkan tentang kejadiannya; yang tumbuh membesar dari nikmat Allah yang tiada hadnya itu. Lebih-lebih lagi jika ia memiliki kekuasaan dan harta yang banyak di atas muka bumi ini. Ini ditambah pula oleh sifat lalai dan alpa. Dengan itu, ia seolah-olah merampas dan menelan nikmat Allah seperti seekor haiwan tanpa mendapat keizinanNya.
Akan tetapi, pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini, nafsu setiap insan bermula daripada orang yang paling kaya hinggalah orang yang paling miskin mula mengerti dan sedar bahawa ia bukanlah pemilik dirinya, bahkan dia adalah milik penuh orang lain. Ia bukanlah bebas, tetapi adalah hamba yang menurut arahan. Ia tidak mampu menghulurkan tangannya untuk melakukan sekecil-kecil perkara walaupun bagi mendapatkan air tanpa perintah Tuhannya. Oleh itu, hancurlah tipu daya tuhan impiannya, maka dengan itu ia akan terikat kepada pengabdian kepada Allah s.w.t., dan ia melaksanakan tugasnya yang asasi iaitu bersyukur.
HIKMAH KELIMA
Salah satu hikmah puasa di bulan Ramadan adalah bertujuan untuk mendidik hawa nafsu manusia dan membebaskan dirinya daripada tindakan-tindakan kelakuan yang tidak baik, ialah:
Kerana lalai dan alpa, nafsu manusia akan melupakan zatnya. Ia tidak nampak akan kelemahan, kehendak dan kekurangan yang tidak terbatas yang terdapat dalam dirinya itu. Bahkan, ia tidak mahu melihat perkara-perkara yang tersembunyi dalam dirinya itu. Ia tidak sedar betapa lemah dirinya, betapa ia terdedah kepada kemusnahan dan betapa banyaknya kesukaran yang dihadapinya. Ia lupa pada asal usul kejadiannya yang hanya terdiri daripada daging dan tulang yang akan rosak dan binasa dengan cepat. Kerana itu, ia bertindak dengan menyangka bahawa ia diperbuat daripada besi waja dan akan terhindar daripada kemusnahan dan kematian. Ia menyangka bahawa ia akan kekal abadi.
Lantaran itu, ia terlalu bergantung kepada dunia. Ia mencampakkan dirinya ke dalam pelukan dunia itu dengan membawa keinginan dan ketamakan yang amat sangat. Ia mengikat dirinya dengan dunia dengan ikatan kemesraan dan kasih sayang yang bersemarak. Ia menguatkan cengkaman ke atas semua benda yang lazat dan bermanfaat sehingga lupa akan Penciptanya, yang telah membelanya dengan penuh kasih sayang. Ia akan lupa akan akibat dan kesudahan hidupnya di dunia serta kehidupannya di akhirat. Ia akan terjerumus ke dalam jurang akhlak yang buruk dan melakukan maksiat.
Akan tetapi, melalui ibadat puasa, orang yang paling lalai dan paling degil sekalipun akan dikejutkan dengan rasa kelemahan, keperluan dan keterbatasan mereka. Melalui rasa lapar, setiap orang akan berfikir tentang keperluan perut mereka. Mereka akan berfikir betapa kerdilnya dan lemahnya diri mereka, betapa ia memerlukan rahmat Allah dan belas kasihanNya. Oleh itu mereka akan meninggalkan perasaan Raja Firaun {Nun jauh di lubuk hatinya, ia berasa terlalu ingin untuk mengetuk pintu taubat Allah, dengan penuh kelemahan dan kekerdilan yang nyata, jauh daripada perasaan takbur.} dengan memahami akan kelemahan dan keperluan mereka yang amat sangat dengan mengetuk pintu rahmat Ilahi dengan penuh rasa kesyukuran selagi mana kelalaian tidak merosakkan kalbu mereka.
HIKMAH KEENAM
Dari aspek penurunan al-Quran dan bulan Ramadan sebagai bulan yang paling utama, hikmahnya ialah: Oleh kerana al-Quran al-Karim diturunkan pada bulan Ramadan, maka segala kehendak yang buruk mesti dihindarkan. Perkara-perkara hina dan dusta hendaklah dilontarkan jauh-jauh sebagai persediaan untuk menyambut bicara Ilahi, yang sepatutnya disambut dengan baik; sesuai dengan bicara Ilahi tersebut. Perkara ini boleh dilakukan dengan cara mengingati waktu dan masa al-Quran itu diturunkan, di samping berusaha menjiwai jiwa kerohanian para malaikat, iaitu dengan cara meninggalkan makan dan minum serta berqiamullail dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran seolah-olah ayat-ayat suci itu baru sahaja diturunkan. Mereka mendengar dan menghayatinya dengan penuh khusyuk.
Mereka mendengar kandungan perbicaraan Ilahi itu untuk mencapai kedudukan dan kerohanian yang tinggi. Mereka membaca ayat-ayat suci al-Quran seolah-olah mereka mendengarnya daripada Rasulullah s.a.w., bahkan mereka begitu tertarik mendengarnya seolah-olah mereka mendengarnya daripada Jibril a.s., bahkan daripada Allah s.w.t. sendiri, al-Mutakallim al-Azali. Kemudian al-Quran itu hendaklah dibaca dan diperdengarkan pula kepada orang lain sambil menjelaskan hikmah penurunannya.
Sesungguhnya pada bulan Ramadan al-mubarak, dunia Islam bertukar menjadi seperti sebuah masjid. Alangkah besarnya masjid itu, yang setiap sudut dan penjurunya dipenuhi oleh berjuta para penghafal al-Quran al-karim.
Mereka membaca kalam samawi itu sehingga didengari oleh penduduk bumi dengan menzahirkan kalam itu dalam bentuk yang hebat untuk membenarkan ayat suci al-Quran yang berbunyi:
شَهْ رِرَمَضَانَِ الَّّ۪۪ٓى انْزِلَِ ف۪يهِِ الْ قرْاٰ نِ “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran...” yang menegaskan bulan Ramadan sebenarnya ialah bulan al-Quran. Sementara orang lain yang ada dalam jemaah yang besar itu, ada di antara mereka yang mendengar bacaan para penghafal tadi dan ada yang membacanya sendiri.
Alangkah keji dan hinanya orang yang menjauhkan diri dari masjid-masjid yang suci ini, yang mempunyai kedudukan yang hebat itu, hanya kerana mengejar makan dan minum serta mengikut nafsu yang sentiasa menyuruh ke arah kejahatan! Betapa orang itu akan diperkecilkan secara maknawi oleh ahli jemaah masjid tersebut? Begitulah keadaan orang yang tidak berpuasa pada bulan yang mulia ini. Mereka akan menjadi sasaran penghinaan dan diperkecilkan secara maknawi oleh seluruh dunia Islam.
HIKMAH KETUJUH
Dari aspek usaha manusia yang datang ke dunia ini untuk bercucuk tanam dan berurus niaga untuk mendapatkan keuntungan dunia dan akhirat, bulan Ramadan mempunyai hikmah seperti berikut:Satu ganjaran pahala amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan al-mubarak akan digandakan menjadi seribu. Sebagaimana yang diketahui, setiap huruf al-Quran al-karim mempunyai sepuluh pahala. Ia dikira sebagai sepuluh pahala dan ia menghasilkan sepuluh biji buah dari Syurga sebagaimana yang diceritakan oleh hadis Nabi s.w.t.. Pada bulan Ramadan, setiap huruf tersebut akan melahirkan seribu buah pahala di akhirat, bukannya sepuluh lagi.
Setiap huruf ayat al-Quran, seperti Ayat al-Kursi akan membuka pintu di hadapan ribuan pahala buah-buahan hakiki di akhirat kelak yang akan keluar berjuntaian. Pahala tersebut akan berlipat ganda pada hari Jumaat dalam bulan Ramadan dan pada malam Lailatul Qadr pula sehingga menghasilkan tiga puluh ribu ganjaran pahala.
Benar, al-Quran al-karim memberikan sebanyak tiga puluh ribu buah-buahan pahala yang abadi kepada setiap hurufnya. Ia menjadi seumpama buah-buahan pohon Tuba yang bercahaya dan berkekalan di dalam Syurga pada bulan Ramadan bagi dipetik oleh orang-orang mukmin yang mana pahalanya mencecah jutaan… Renungilah dan hayatilah perniagaan yang suci, kekal dan menguntungkan ini. Kemudian, fikirlah tentang mereka yang tidak menghargai nilai huruf-huruf yang suci ini. Alangkah besarnya kerugian yang ditanggung oleh mereka.
-Dengan lain perkataan, bulan Ramadan al-mubarak ini menyerupai sebuah festival perniagaan akhirat yang sangat menguntungkan.
-Ia umpama tanah yang sangat subur, yang mengeluarkan hasil-hasil tanaman akhirat.
-Ia umpama hujan yang turun untuk menyuburkan tanaman. -Ia umpama pesta yang besar dan satu perayaan yang meriah lagi suci, untuk mempamerkan perarakan peribadatan manusia untuk menzahirkan keagungan dan Rububiyyah Ilahi.
Oleh itu, manusia dipertanggungjawabkan untuk berpuasa agar dia tidak terus lalai dan alpa, agar dia tidak terjerumus dengan tuntutan kehaiwanan seperti makan dan minum yang merupakan keperluan diri, dan supaya dia dapat mengelak daripada terus tenggelam di dalam syahwat dan perkara-perkara yang tidak memberikan apa-apa faedah. Melalui puasanya, dia menjadi seumpama sebuah cermin yang membalikkan sifat al-Samadaniyah, yang mana dia keluar buat seketika daripada sifat kehaiwanan dan masuk ke dalam satu keadaan yang menyerupai malaikat, atau dia menjadi individu yang melibatkan diri dalam perniagaan akhirat dan menjauhkan diri daripada tuntutan dunia yang sementara ini.
Benar, Ramadan al-mubarak memberikan kehidupan yang kekal bagi orang yang berpuasa di dunia yang fana ini. Satu bulan Ramadan sahaja boleh memberikan kepada seseorang yang berpuasa hasil yang boleh diperolehi oleh orang yang hidup selama lapan puluh tahun. Dan kedudukan Lailatul Qadr yang lebih baik daripada seribu bulan seperti yang disebut dalam al-Quran menjadi bukti kepada rahsia ini.
Misalnya, seorang raja akan menetapkan hari-hari tertentu semasa pemerintahannya atau pada setiap tahun, sama ada berdasarkan hari-hari pertabalannya atau hari-hari lain sebagai hari yang penting bagi kerajaannya. Hari-hari tersebut dijadikan hari perayaan buat rakyatnya. Pada hari itu, baginda tidak berurusan dengan rakyatnya yang setia lagi berhak itu dengan prosedur biasa, sebaliknya baginda menjadikan mereka sebagai tempat untuk menyatakan ihsan, nikmat dan kebaikannya. Baginda menjemput rakyatnya masuk ke balairong serinya tanpa ada apa-apa tabir. Layanan istimewa diberikan kepada mereka. Anugerah dan kurniaan juga turut diberikan. Begitu juga dengan perhatian yang diberikan…
Begitulah juga dengan Yang Maha Berkuasa, Yang Azali, Yang Memiliki Ketinggian dan Kemuliaan, iaitu Sultan Yang Azali dan Abadi, dan Sultan Yang Maha Mulia bagi lapan belas ribu alam. Pada bulan Ramadan, Allah s.w.t. menurunkan perintahNya yang mulia lagi tinggi dan al-Quran al-karim yang ditujukan kepada lapan belas ribu alam tersebut. Oleh itu, ketibaan bulan yang berkat ini dianggap seperti sebuah pesta dan perayaan Ilahi yang istimewa lagi meriah. Ia seperti sebuah pameran Rabbani yang amat hebat. Ia umpama satu majlis kerohanian yang menakjubkan, yang merupakan satu tuntutan hikmah. Selagi bulan Ramadan berupa hari-hari teristimewa yang meriah dan menyeronokkan, maka bulan tersebut mestilah dipenuhi dan dihidupkan dengan ibadat puasa agar manusia bebas daripada sifat-sifat yang rendah dan nafsu serakah haiwan.
Puasa yang paling sempurna ialah puasa yang melibatkan semua pancaindera manusia seperti mata, telinga, hati, imaginasi, dan fikiran sepertimana puasa yang dilakukan keatas perut. Ini bermaksud orang yang berpuasa itu hendaklah menjauhkan pancaindera tersebut daripada perkara-perkara yang haram, buruk dan tidak berfaedah. Dia juga hendaklah memandu setiap pancainderanya kepada pengabdian mereka yang khusus.
Contohnya,seseorang akan menahan lidahnya daripada bercakap bohong, mengumpat dan mengeluarkan kata-kata buruk serta menegahnya daripada melakukan kerja-kerja tersebut. Dia akan membasahkan lidahnya dengan membaca al-Quran al-karim, bertasbih dan berzikir dengan memuji nama-namaNya, berselawat ke atas Rasululah s.a.w. dan beristighfar serta memohon keampuna keatas dosa-dosa yang telah dilakukannya.
Contoh lagi:Menahan matanya daripada melihat mereka dari jantina yang dalam batas-batas yang diharamkan serta menutup telinganya daripada mendengar perkataan-perkataan yang keji. Sebaliknya, dia hendaklah mengarahkan matanya dan telinganya untuk membaca dan mendengar perkara-perkara yang benar dan al-Quran. Dengan ini dia juga meletakkan seluruh pancainderanya yang lain dalam keadaan berpuasa.
Seperti yang diketahui, perut merupakan sebuah kilang yang sangat besar. Jika ia diarah bercuti dari bekerja melalui berpuasa, maka operasi kilang-kilang lain yang lebih kecil dapat direhatkan dengan mudah.
HIKMAH KELAPAN
Salah satu hikmah berpuasa, yang berkait dengan kehidupan peribadi manusia dapat dirumuskan seperti berikut:
Ubat yang paling mujarab bagi manusia boleh diperoleh melalui ibadat puasa, iaitu melalui pencegahan, sama ada pencegahan secara fizikal atau secara rohani. Konsep pencegahan diakui ada dalam bidang perubatan. Ini kerana, selagi manusia bebas makan dan minum, maka selagi itulah dia akan mendatangkan kemudharatan fizikal terhadap kehidupan peribadinya.
Begitulah juga keadaan kehidupan rohaninya, kerana apabila dia memakan dengan gelojohnya semua yang diperolehnya, tanpa mengira halal dan haram, maka makanan itu akan meracuni kehidupan, bahkan nafsunya juga sudah sampai ke tahap mengingkari hati dan rohnya. Nafsu itu sudah tidak patuh dan tunduk lagi kepada hati dan roh. Nafsu itu akan mengawal diri seseorang itu dengan bebas tanpa ada sebarang sekatan. Lantas, ia memandu manusia ke arah syahwatnya tanpa dapat dijaga dan dikawal oleh manusia itu sendiri.
-Akan tetapi, melalui amalan berpuasa dalam bulan Ramadan, dan dengan sejenis ubat yang dipanggil tazkiyah, nafsu akan kembali ke bentuk normal.
-Nafsu akan berusaha dengan tekun untuk menyuci, melatih dan belajar mentaati suruhan.
-Ia tidak akan mendapat penyakit yang disebabkan oleh perut yang kekenyangan dan yang disumbat dengan pelbagai jenis makanan.
-Ia akan beroleh kekuatan untuk mendengar perintah yang datang daripada akal dan syarak.
-Ia akan berusaha menghindarkan diri daripada terjatuh ke lembah haram dan berusaha untuk tidak mengeruhkan kehidupan maknawinya.
Selain itu, pada kebiasaannya, kebanyakan manusia terdedah kepada kelaparan. Oleh itu, mereka memerlukan suatu latihan dan latihan itu akan dapat dilaksanakan dengan cara berlapar. Cara ini dapat membiasakan manusia bersabar dan mampu menanggung kesusahan.
Puasa pada bulan Ramadan merupakan satu latihan. Ia merupakan satu proses membiasakan diri untuk berpuasa dan bersabar menahan lapar selama lima belas jam atau 24 jam bagi mereka yang tidak sempat bersahur. Oleh itu, puasa merupakan ubat yang mujarab untuk mengubat kegelisahan dan kegopohan manusia dan ketidakupayaan mereka untuk menanggung perkara-perkara yang boleh menambahkan lagi musibah dan dugaan.
Begitu juga dengan perut. Ia bagaikan sebuah kilang yang mempunyai ramai pekerja dan kakitangan. Di dalam badan manusia itu terdapat organ-organ yang mempunyai hubungan dan kaitan dengan kilang (perut) tersebut. Sekiranya pada waktu siang bulan tertentu, jiwa tidak memberhentikan tugas-tugasnya buat seketika, maka perkara ini akan menyebabkan pekerja-pekerja tersebut lupa tugas khusus mereka. Ia akan membuatkan mereka lalai dan lupa pada zat mereka.
Ia akan menjadikan mereka berada di bawah pengaruh nafsu. Seterusnya, alat dan organ lain akan rosak, berserabut dan terganggu kerana bunyi dan asap tebal yang keluar dari mesin kilang maknawi tersebut. Semua perhatian akan diberikan kepadanya dan mereka semua akan melupakan tugas penting mereka buat seketika. Disebabkan perkara inilah, kebanyakan para wali Allah yang soleh berusaha melatih diri mereka dengan mengurangkan makan dan minum supaya mereka dapat memanjat tangga kesempurnaan.
Akan tetapi, dengan kedatangan bulan Ramadan, para pekerja tersebut menyedari bahawa mereka bukan dijadikan untuk kilang itu sahaja, bahkan mereka (organ dan pancaindera itu) juga dapat mengecapi kelazatan yang tinggi. Mereka turut dapat merasai nikmat kemalaikatan dan kerohanian dalam bulan yang mulia itu. Daripada terus lalai dan berfoya-foya dengan kilang itu, mereka memilih untuk memusatkan perhatian mereka kepada kelazatan dan nikmat tersebut. Oleh itu, kamu dapat melihat orang mukmin pada bulan Ramadan al-mubarak mendapat pelbagai cahaya, kelebihan dan kegembiraan maknawi, bergantung kepada tahap dan kedudukan masing-masing. Terdapat pelbagai peningkatan dan kelebihan bagi hati, roh, akal, rahsia dan perkara-perkara yang seumpamanya. Sekalipun perut menangis dan menjerit, tetapi dengan keampunan dan rahmat Allah s.w.t., semua anggota yang lain ketawa dan gembira.
HIKMAH KESEMBILAN
Dari segi aspek pengabdian yang diperkenalkan melalui pemusnahan nafsu itu dan dari segi menzahirkan kelemahannya di hadapan Allah s.w.t., puasa bulan Ramadan memberikan hikmah seperti berikut:
Sesungguhnya hawa nafsu tidak mahu mengenali Tuhannya. Nafsu dengan angkuh mendakwa bahawa ia sendiri memiliki sifat ketuhanan. Sifat angkuhnya sama seperti sifat angkuh Firaun yang melampau itu. Walaupun nafsu diazab dan dikasari, namun sifat ketuhanan yang disangka menjadi miliknya itu tetap ada. Keangkuhan tersebut tidak mampu ditundukkan/dipatahkan, bahkan ia tidak akan tunduk melainkan apabila berhadapan dengan raja kelaparan.
Begitulah secara langsung, puasa Ramadan memberi pukulan maut kepada sikap kefiraunan yang tertanam dalam nafsu. Lalu, puasa itu mematahkan kuasa nafsu tersebut dengan menzahirkan keterbatasan, kelemahan dan kekerdilannya serta membuatkan nafsu itu kenal bahawa ia adalah hamba.
Ada disebutkan dalam salah satu riwayat hadis: Allah s.w.t. telah berfirman kepada nafsu: “Man ana wa ma anta? Siapakah Aku dan siapakah kamu?”. Nafsu menjawab: “Ana ana, anta anta. Aku adalah aku, kamu adalah kamu”. Lalu Allah s.w.t. mengazabnya dan menghumbankannya ke dalam neraka. Kemudian nafsu itu ditanya sekali lagi, nafsu menjawab : “Ana ana, anta anta. Aku adalah aku,
kamu adalah kamu “. Sekalipun pelbagai azab dikenakan kepadanya, sifat kelakuannya tidak berubah… kemudian Allah s.w.t. mengazabnya dengan kelaparan, iaitu dengan membiarkannya lapar. Kemudian nafsu ditanya lagi: “Man ana wa ma anta? Siapakah Aku dan siapakah kamu?”. Nafsupun menjawab: Kamu adalah Tuhanku Yang Maha Mengasihani dan aku adalah hamba-Mu yang lemah”.
اَللّٰه مَّ صَِلِّ وَِسَلِِّْ عَِلٰٰ سَِ يِّدِنََ محَمَّ د صَِلاَةً تَِ كو ن لَََِ رِِضَ۪ٓاءً وَِ لِِحَقِّهِ اَِدََٓاءً بِِعَدَدِِِ
ثَوَابِ قِِرَائَةِ ح روفِ اِلْ قرْاٰنِ فِ۪۪ شَِِهْرِ رَِمَضَِانَ وَِ عَِلٰٰ۪ٓ اِٰلِِ۪ وَِ صََِْبِه۪ وَِ سَِلِِِّْ
Ya Allah! Selawat dan salam buat junjungan kami nabi Muhammad; selawat yang berupa redha buat-Mu dan kurniakanlah kepada baginda bilangan pahala huruf al-Quran pada bulan Ramadan, juga buat ahli keluarga dan para sahabat baginda dan kurniakan kepada mereka kesejahteraan yang melimpah-ruah. Amin.
س بْحَانَ رَِبِّكَ رَِبِّ اِلْعِزَّةِ عَََِّا يَِصِ فونَ ٭ِ وَِسَلَامٌ عَِلَٰ اِلْ مرْسَل۪ينَ ٭ِ وَِ اِلْحَمْ د لِِّٰلِِ
رَبِّ اِلْعَالَم۪ينَ ٭ِ اِٰم۪ينَِ